• Menu
  • Menu
Home » Shanghai, Destinasi Pelancongan Sekeluarga

Shanghai, Destinasi Pelancongan Sekeluarga

Article Contributor: Malaysian Guest Writer

Percutian keluarga kami di Shanghai, China berlangsung selama 8 hari 7 malam.

Sejurus tiba di Shanghai, kami terus mencari sebuah van shuttle yang boleh memuatkan keluarga kami yang terdiri daripada 5 orang dewasa dan seorang kanak-kanak untuk ke tempat penginapan kami yang terletak di Xiu Pu Road, Pudong. Kami memilih untuk menginap di kawasan Xiu Pu Road, kerana jaraknya yang tidak jauh dari Shanghai Wild Animal Park dan juga Disneyland Shanghai berbanding hotel-hotel di kawasan Bandaraya Shanghai.

Shanghai Wild Animal Park

Hari kedua kami diisi dengan lawatan ke Shanghai Wild Animal Park. Tempat ini tentu sekali menjadi kegemaran anak kami yang baru berusia dua tahun. Tiket masuk ke taman haiwan ini berharga 130 yuan, dan percuma untuk kanak-kanak.

Shanghai Wild Animal Park

Sejurus masuk ke dalam Shanghai Wild Animal Park, kami disambut dengan sebuah tasik yang sederhana luas dan anak begitu teruja melihat sekumpulan swan hitam dan putih yang berenang di pinggir tasik. Terdapat mesin yang menjual makanan buat swan-swan tersebut dan para pengunjung boleh memberi makanan kepada swan-swan.

Seterusnya, kami meneruskan perjalanan ke kawasan di mana bas disediakan untuk memasuki safari. Di sinilah perlbagai haiwan liar yang hidup bebas dapat dilihat. Haiwan-haiwan ini kelihatan sihat dan gembira hidup di dalam habitat yang bersesuaian dengan mereka.

shanghai-wildlife

Setelah habis kawasan Safari kami lawati, kami berjalan lagi untuk melihat haiwan-haiwan lain. Terdapat zirafah, gajah, kangaroo, alpaca, penguin, panda comel dan lain-lain lagi. Menariknya di Shanghai Wild Animal Park ini ialah, kita dibenarkan untuk memberi makan kepada haiwan-haiwan seperti gajah, zirafah, kuda belang, dan kangaroo. Caj berasingan dikenakan untuk memberi haiwan-haiwan makan.

Setelah lewat petang, kami pulang semula ke hotel untuk berehat kerana keesokan hari akan diisi dengan lawatan ke Disneyland yang pastinya memakan masa seharian.

 

Disneyland Shanghai

Sudah pasti, lawatan ke Disneyland adalah yang paling dinanti-nanti oleh kami seisi keluarga.

Seawal jam 8 pagi, kami telah bersiap sedia dan terus ke lobi hotel untuk menaiki bas yang disediakan. Perjalanan hanya memakan masa 20 minit.

shanghai disneyland

Tiket untuk ke Disneyland telah kami beli secara online sejak di Malaysia lagi. Sesiapa yang bercadang untuk melawat Disneyland disarankan untuk membeli tiket secara online kerana barisan mereka yang membeli tiket tidak kurang panjangnya.

Jadi, hari ketiga kami di Shanghai diisi dengan aktiviti-aktiviti taman tema, mengambil gambar dan pastinya kami tidak melepaskan peluang untuk menonton pertunjukan bunga api yang menakjubkan sebelum perarakan oleh karakter-karakter Disney melabuhkan tirainya.

 

The Bund

Pada hari keempat, kami berpindah ke hotel yang terletak berdekatan dengan bandaraya Shanghai.

the bund

Setelah selesai urusan daftar masuk, kami meneruskan perjalanan kami ke kawasan The Bund dengan menaiki metro. Cuaca pada hari tersebut hujan, menjadikan perjalanan kami agak mencabar. Pemandangan di The Bund sungguh indah berlatarbelakangkan bangunan-bangunan ala-ala Eropah. Sememangnya wajib untuk merakamkan gambar sebanyak mungkin di kawasan ini, tambahan lagi, di seberang sana, kita dapat melihat mercu-mercu tanda Shanghai termasuklah Oriental Pearl Tower, Shanghai World Financial Centre dan lain-lain bangunan pencakar langit. Kami sekeluarga tidak melepaskan peluang untuk menaiki Huang Pu River Cruise dan menikmati pemandangan malam di sana. Tiket untuk Huang Pu River Cruise berharga 120 yuan. Ia adalah pengalaman yang sangat berbaloi sambil menikmati keindahan malam badaraya Shanghai.

 

Masjid Pudong

masjid pudong

masjid pudong

Hari kelima kami di Shanghai merupakan hari Jumaat, ahli-ahli keluarga lelaki sangat teruja untuk menunaikan solat Jumaat di negeri orang ini. Dari hotel, kami hanya berjalan kaki menuju ke Pudong Mosque yang memakan masa lebih kurang setengah jam. Setibanya kami di hadapan masjid, kelihatan sungguh meriah dengan peniaga-peniaga muslim yang menjual pelbagai makanan halal. Sejurus selesai menunaikan solat, kami makan tengah hari di situ. Pelbagai menu disediakan, dan yang paling tidak dapat dilupakan adalah sate ayam & kambing di mana kita boleh memilih samaada mahukan yang pedas ataupun tidak.

 

Shanghai Ocean Aquarium

Dari Masjid Pudong, kami menaiki teksi menuju ke Shanghai Ocean Aquarium. Tiket masuk untuk seorang dewasa adalah 160yuan, manakala kanak-kanak tidak dikenakan caj.

Shanghai Ocean Aquarium

Akuarium ini adalah antara yang terbesar yang pernah kami lawati. Terdapat pelbagai hidupan laut yang dapat dilihat di sini. Kami amat tertarik dengan akuarium yang memuatkan obor-obor kerana bagi kami ia merupakan sesuatu yang unik, cantik, dan jarang dapat dilihat di negara kita sendiri. Namun yang paling mengkagumkan di Shanghai Ocean Aquarium ini semestinya terowong yang bergerak sendiri dan kita boleh melihat pelbagai hidupan laut termasuk ikan jerung, ikan pari, penyu, dan pelbagai jenis ikan-ikan kecil berenang-renang di atas dan kiri kanan kita. Terasa seperti berada di dalam lautan sebenar.

 

Oriental Pearl Tower

Setelah dikagumkan dengan hidupan laut yang pelbagai di Shanghai Ocean Aquarium, kami meneruskan lawatan kami ke Oriental Pearl Tower  atau juga dikenali sebagai Oriental Pearl Radio TV Tower yang terletak betul-betul bersebelahan dengan Shanghai Ocean Aquarium.

Oriental Pearl Tower

Tidak sahlah lawatan ke Shanghai jika tidak menjejakkan kaki di Oriental Pearl Tower ini. Bangunan ini merupakan menara penyiaran yang berketinggian  468 meter. Senibinanya yang sangat unik menerapkan design berbentuk bola bulat yang melambangkan mutiara sebagai ciri khas. Kami sempat merakamkan gambar kenangan di bawah Oriental Pearl Tower tersebut.

Kami juga tidak ketinggalan untuk meninjau di dalam Oriental Pearl Tower tersebut. Tiket masuk bagi dewasa berharga 160yuan. Kami dibawa naik ke paras 263meter (863ft) untuk menikmati pemandangan bandaraya Shanghai. Kami terpegun melihat keindahan pemandangan malam The Bund dari atas menara dengan jelas. Selain itu, terdapat juga sebuah restoran berputar di paras 267meter(876ft) untuk sesiapa yang ingin menikmati hidangan di samping mencuci mata dengan pemandangan indah Shanghai.

 

Qi Bao Ancient Town

Qi Bao Ancient Town merupakan satu lagi tarikan pelancong yang mesti dilawati apabila menjejakkan kaki ke Shanghai. Terletak di Pu Hui River, terdapat pelbagai tarikan di sini termasuklah muzium, gerai-gerai makanan ‘street food’, dan juga kedai-kedai yang menjual barang-barang kraftangan Cina.

Qi Bao Ancient Town

Kami tidak melepaskan peluang untuk membeli-belah di sini. Barang-barang yang boleh didapati di sini adalah pakaian tradisi cina, selendang-selendang, barang-barang perhiasan seperti mutiara dan batu-batu permata, dan lain-lain lagi.

Qi Bao Ancient Town

Selain itu, seni bina bangunan di sini yang tradisional sangat cantik dan rugilah jika tidak merakamkan gambar sebanyak mungkin sebagai kenangan.

 

Zhong Hua Niu Rou Mian

Dalam perjalanan kami menuju ke Hard Rock Café, kami sempat singgah di Xiao Tao Yuan Street dan menikmati mee tarik dari salah sebuah restoran halal di situ.

Zhong Hua Niu Rou MianZhong Hua Niu Rou Mian

Mee Tarik adalah makanan ruji rakyat negara ini. Kebanyakan kedai-kedai makan halal yang kami singgah ada menyediakan hidangan tersebut. Jadi jangan lepaskan peluang untuk mencuba mee tarik asli di Shanghai ini.

Zhong Hua Niu Rou Mian yang sangat terkenal dengan Mee Sup Dagingnya bukan sahaja menarik kaum Muslim untuk makan di situ, tetapi ramai rakyat tempatan dan pelancong mat salleh juga tertarik untuk mencuba Mee Daging Lembu di situ.

Kami sekeluarga juga sempat mencuba beberapa hidangan seperti Mee Sup Daging, Mee Kering bersama kuah daging berempah, Nasi bersama Kentang dan Daging dan beberapa menu lain, dan kami harus akui keenakan makanan di Zhong Hua Niu Rou Mian tersebut.

 

Jiang Nan Silk Shopping Centre

Memandangkan kami berada di Negara China, sudah tentulah yang kami cari ialah sutera Cina yang dijamin kualiti dan eksklusivitinya. Akhirnya kami berjaya menemui sebuah pusat pembuatan sutera Cina yang terletak di Jiang Nan Road. Di sana kami dibawa melihat cara-cara sutera dihasilkan dengan menggunakan mesin khas. Seterusnya, kami meneruskan misi kami untuk membeli kain sutera untuk dibawa pulang ke tanah air.

Jiang Nan Silk Shopping Centre

Terdapat dua bahagian untuk membeli belah di sini iaitu bahagian cadar dan juga bahagian pakaian. Bahagian pakaian lebih menarik perhatian kami. Kami sempat memilih beberapa pasang kain sutera yang sesuai dijadikan pakaian, serta beberapa helai skaf buatan Cina sebagai cenderamata untuk diri sendiri.

 

Yu Yuan

Destinasi terakhir kami di China adalah Yu Yuan atau jugak dikenali sebagai Yu Garden. Tiket masuk ke Yu Yuan hanyalah 30yuan. Namun kerana hari sudah lewat petang, kami tidak berkesempatan untuk meninjau taman terbabit. Kami hanya sempat berjalan-jalan di kawasan bazar Yu Garden dan membeli belah buat kali yang terakhir.

yu yuan

Pelbagai cenderamata boleh didapati di sini. Kami telah membeli t-shirts, ‘keychains’ dan barang-barang perhiasan rumah dalam kuantiti yang agak banyak di sini. Dan jangan segan-silu untuk tawar menawar. Kami berjaya mendapatkan barang-barang dengan harga yang berpatutan. Kami amat berpuas hati membeli belah di sini.

Klook.com